Perjalanan seorang insan tidak selalunya mudah. Kadangkala perlu juga melalui pelbagai halangan dan rintangan. Bukan sebab Allah s.w.t hendak menyusahkan kita, tetapi untuk menguji kesabaran dan iman hambaNya. Hal ini juga kerana Allah s.w.t lebih tahu apa yang terbaik untuk hambaNya dan tidak akan membebankan hambanNya dengan sesuatu yang tak mampu untuk ditanggung. Anak yatim adalah anak yang kematian ibubapa atau salah seorang daripadanya semasa ia kecil atau belum baligh atau anak yang kematian bapanya sebelum ia menjakau umur baligh. Islam mewasiatkan kepada umat manusia supaya melakukan hubungan baik dengan anak yatim,memberi perlindungan dan pengajaran yang rapi serta memberi hak-hak mereka.Firman Allah s.w.t :
Maksudnya :
Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya.
(Al-Quran, al-Dhuha 93:9)
Maksudnya :
Tahukah Engkau akan orang yang mendustakan agama (meliputi hari pembalasan)?. Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim.
Mereka perlu diberikan perhatian dan dididik terutamanya bagi mereka yang bermasalah terutamanya dari segi ilmu agama. Pengalaman menjalani LAI di rumah anak yatim memberikan banyak pengalaman dan juga telah membuatkan saya terfikir ke mana masa depan mereka yang bermasalah ini jika tidak dibimbing. Peluang yang ada telah saya gunakan untuk mendekati dan memahami mereka. Dari segi pendidikan agama sememangnya nampak agak lemah. Untuk berdakwah kepada mereka perlu dengan cara yang lembut dan kadangkala perlu tegas. Ramai kawan-kawan menyuruh untuk menjadi garang dan jangan terlalu memberi muka kepada mereka, tetapi mereka akan susah untuk menerima kita dan juga apa yang ingin kita sampaikan. Dengan pendekatan yang sesuai kita dapat menyampaikan sesuatu dengan lebih mudah. Kelas al-Quran yang dijalankan 4 hari setiap minggu membantu mereka belajar mengaji. Mereka dilihat sememangnya memerlukan lebih perhatian dan kasih sayang. Anak-anak yatim yang dihantar ke asrama anak yatim bukan sahaja terdiri daripada golongan orang yang susah tetapi juga mereka yang mempunyai masalah dalam keluarga.
Oleh sebab itu, anak-anak yatim tersebut perlu diberikan perhatian dan kita harus membantu mereka terutama dari segi pembentukan sahsiah dan peribadi yang baik. Kita tidak boleh menyerahkan sepenuhnya kepada pihak asrama yang menjaga mereka, tetapi sebagai orang awam juga kita boleh membantu setakat yang kita mampu tidak semestinya dari segi kewangan atau barangan, malah dari segi ilmu juga kerana ia adalah lebih berharga. Berdasarkan pengalaman saya sendiri ketika menjalani LAI, saya telah mencuba beberapa cara dan pendekatan bagi memberi kesedaran kepada mereka. Kadangkala saya menjalankan sesi kaunseling ringkas bagi pelajar yang bermasalah. Secara tidak langsung saya dapat membantu mereka. Sememangnya banyak masalah yang dihadapi oleh mereka. Terdapat juga pelajar yang datang bertemu saya dan meminta khidmat nasihat, ada juga yang meminta mengajar untuk solat, membaca doa dan bermacam lagi. Insyaallah sedikit sebanyak apa yang saya sampaikan kepada mereka dapat mereka terus amalkan. Sesi tazkirah yang dibuat pada hari jumaat selepas solat zuhur berjemaah juga salah satu pendekatan yang saya lihat sangat baik untuk menyampaikan maklumat ilmiah tentang agama. Mereka juga telah saya tugaskan untuk memberi tazkirah pendek setiap minggu. Mereka boleh mencari di buku-buku teks pendidikan Islam atau dimana-mana sumber. Secara tidak langsung dapat mereka akan dapat belajar dari apa yang mereka sampaikan dan melatih mereka untuk berani bercakap dihadapan dan memberikan mereka pengalaman yang baru. melaui program malam kesenian islam dan malam penghayatan yang telah saya dan seorang kawan adakan untuk mereka juga diharap dapat memberi mereka input2 berguna.
Bagi pelajar yang bermasalah, terutama dari segi disiplin, kadangkala akan di rotan. Walaupun saya diberi kuasa untuk merotan tetapi saya berasa tidak sampai hati untuk berbuat demikian. Mungkin sebab saya seorang perempuan, sebab tu lah saya tak sanggup nak buat. Pendekatan yang saya gunakan lebih kepada meluahkan kemarahan dan memberi nasihat. Beberapa kes juga telah dapat diselesaikan. Saya amat berharap mereka akan istiqamah dengan perubahan yang telah mereka buat.
No comments:
Post a Comment